Friday, January 29, 2016

Program Merentas Desa 2016

Program Merentas Desa 2016 peringkat sekolah telah diadakan pada pagi Jumaat, 28 Januari. Semua murid mengambil bahagian dalam acara ini.

Senaman ringkas dahulu sebelum acara larian bermula.

Amboi, awal-awal dah pecut ni. Jangan tak sampai check point sudahlah.

Laju sikit...ada yang dah berpatah balik tu.

Aduhai, kenapa ni? Dah tak daya nak menamatkan larian ke?


Dah sampai ke garisan penamat pun.

Berehat seketika selepas penat berlari.

Pn. Norhayati binti Mohd Said, GPK Pentadbiran menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. Tahniah kepada yang berjaya dan bagi yang tidak berjaya jangan berputus asa, cuba lagi di lain kali.

Ziarah Cakna Tuan Timbalan PPD Lipis

Pada 28 Januari baru-baru ini, SKPS telah dikunjungi oleh En. Hassan Basri bin Samsudin, Timbalan PPD Lipis. Beliau dalam rangka lawatan ziarah cakna ke sekolah-sekolah di daerah Lipis.

Beliau mengambil kesempatan melawat sekolah ini untuk bertemu dengan semua guru bagi menyampaikan pandangan serta amanat untuk dihayati oleh guru-guru.

Antara amanat yang disampaikan oleh Tuan Timbalan ialah pentingnya guru memberi kasih sayang kepada anak-anak murid agar segala masalah mereka terutama yang berkaitan dengan pendidikan dapat dikongsi dengan guru-guru. Ini memudahkan guru-guru mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Tuan Timbalan berharap, pencapaian UPSR pada tahun ini akan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu.

Pertandingan Bola Baling (Lelaki) Zon Padang Tengku

Pada 27 Januari 2016, SK Pagar Sasak telah menjadi tuan rumah untuk pertandingan bola baling peringkat Zon Padang Tengku. (Gambar : Pasukan SK Pagar Sasak)

Taklimat kepada pengadil dan pengurus pasukan.

Sebanyak 7 sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Sekolah-sekolah tersebut ialah SK Kechor Tui, SK Felda Kechau 1, SK Teluk Gunung, SK Merapoh, SK Felda Chegar Perah, SK Berchang dan tuan rumah.

Antara Guru Besar yang hadir menyaksikan pertandingan bola baling ini (dari kiri : GB SK Kechor Tui, GB SK Teluk Gunung dan tuan rumah). 

En. Ab Yazi bin Juhat, Guru Besar SK Felda Kechau 1 merangkap Pengerusi Zon Padang Tengku menyampaikan sijil dan medal kepada pemenang. Tahniah kepada SK Felda Kechau 1 kerana berjaya menjadi johan.

Wednesday, January 13, 2016

Taklimat dan Bengkel Pembelajaran Abad Ke 21

Pada petang Rabu, 13 Januari 2016 telah berlangsung program Taklimat dan Bengkel Pembelajaran Abad Ke 21 (PA21) yang disampaikan oleh Pn. Mek Nah binti Bakar, SISC+ Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.

Tuan Guru Besar sedang menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum menyerahkan majlis kepada penceramah.

Banyak ilmu berkaitan PA21 yang dikongsi oleh Pn. Mek Nah dengan guru-guru PASAK.

Selepas mendengar taklimat, guru-guru dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Setiap kumpulan dikehendaki membina Rancangan Pengajaran Harian dengan menyelitkan   elemen-elemen PA21.

P&P yang menyelitkan elemen-elemen PA21 ini menjadikan aktiviti belajar sangat menarik dan disukai oleh murid-murid. 

Selepas selesai berbengkel, wakil setiap kumpulan diminta membentangkan hasil perbincangan masing-masing. Kumpulan-kumpulan lain dikehendaki memberi pandangan terhadap perbentangan rakan-rakan mereka. Semoga ilmu serta kemahiran yang diperolehi  dalam taklimat ini akan digunakan oleh guru-guru semasa mengajar di dalam kelas.

Saturday, January 9, 2016

Gotong-royong Kelas KAFA

Guru-guru KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain) mengadakan gotong-royong pada 9 Januari baru-baru ini. Gotong-royong itu melibatkan kerja-kerja membersihkan kelas-kelas di bangunan lama untuk dijadikan kelas KAFA. Dengan adanya kelas-kelas ini, maka kelas KAFA tidak lagi berkongsi kelas dengan kelas pagi.

Kerja berat bila dilakukan bersama menjadi ringan. Syabas kepada guru-guru KAFA, walaupun semuanya perempuan, namun mereka boleh lakukan kerja berat yang sepatutnya dilakukan oleh orang lelaki.

Wujudnya kelas-kelas KAFA ini dengan sendirinya telah memanfaatkan bilik-bilik darjah kosong yang terbiar selama ini.

Semoga dengan adanya kelas yang khusus untuk p&p KAFA nanti, pengajaran dan kreativiti guru akan dapat dipertingkatkan. Guru-guru boleh menggantung bahan bantu mengajar (bbm) yang sesuai tanpa perlu bercampur aduk dengan bbm kelas pagi lagi.

Dah boleh digunakan. In shaa Allah mulai 11 Januari ini, semua kelas KAFA akan beroperasi di bilik-bilik yang telah dibersihkan ini. Semoga hasrat kita untuk melihat anak-anak Pasak bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam sahsiah akan tercapai.

Sunday, January 3, 2016

Hari pertama persekolahan 2016

4 Januari 2016 (Isnin), merupakan hari pertama bagi sesi persekolahan 2016. Seramai 143 orang murid hadir. Selamat datang diucapkan kepada Teacher Nur Kartina binti Mohammad Jailani, guru baru yang bertukar dari SK Kuala Lanar.  Semoga dapat bertugas dengan baik di sekolah ini.

Tuan Guru Besar sedang menyampaikan ucapan alu-aluan serta amanat kepada murid-murid dalam perhimpunan mingguan pertama. Antara intipati ucapan Guru Besar ialah mewujudkan budaya ilmu serta mengamalkan disiplin tinggi dalam kalangan murid-murid.

Semoga anak-anak Pasak, akan terus bersemangat untuk menuntut ilmu agar menjadi insan berguna suatu hari nanti.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru, harap-harapnya dapat dikuasai oleh murid-murid dan seterusnya mampu mencipta kejayaan.
(Gambar : murid Tahun 3)

Saturday, January 2, 2016

Program Orientasi Murid Tahun 1 dan Prasekolah

Pada 31 Disember 2015 (Khamis), pihak sekolah telah menganjurkan Program Orientasi Murid Tahun 1 dan Prasekolah untuk sesi persekolahan 2016. Program diadakan di Dewan Pasak Bicara.

Seramai 26 orang murid Tahun 1 dan 14 orang murid prasekolah telah mendaftar diri untuk bersekolah di sini pada sesi persekolahan akan datang.

Antara atur cara program ialah ucapan alu-aluan oleh Tuan Guru Besar dan kemudian diikuti dengan taklimat bidang-bidang utama di sekolah oleh GPK Pentadbiran, GPK HEM serta GPK Kokurikulum.

 Masih takut-takut murid prasekolah ini. Maklumlah ini pengalaman pertama hadir ke sekolah.

Murid Tahun 1 yang kebanyakannya sudah ada pengalaman di prasekolah sudah pandai berdikari.

Berada di dalam kelas Tahun 1. Sesi berkenalan dengan guru-guru yang akan mengajar mereka nanti. Alhamdulillah, tidak ada yang menangis.

Wajah ceria anak-anak Tahun 1. Enam tahun lagi mereka akan menduduki peperiksaan UPSR. Semoga pendidikan yang akan mereka terima di Tahun 1 hingga Tahun 5 nanti melengkapkan mereka dengan ilmu dan pengetahuan agar mampu berjaya dalam UPSR 2021.

Mesyuarat Pengurusan Bilangan 1/2016

Mesyuarat Pengurusan SK Pagar Sasak Bil. 1/ 2016 telah berlangsung pada 30 Disember 2015. Mesyuarat telah dihadiri oleh 19 orang guru dan 5 Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP).

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Besar, En. Mohd Fazli bin Abd Hamid membincangkan langkah-langkah persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan 2016 yang akan bermula pada 4 Januari 2016 nanti. Selain mesyuarat pengurusan turut diadakan sekali Mesyuarat Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

Tuan Guru Besar mengingatkan kepada semua guru dan AKP agar dapat melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin. Bekerja sebagai satu pasukan agar visi sekolah iaitu 'Pasak trampil cemerlang di daerah Lipis tahun 2018' dapat direalisasikan.